Sunday, September 23, 2012

Pertempuran Karbala


SAIDINA HUSAIN KE KUFAH
Apabila Muawiyyah r.a meninggal dunia maka anaknya Yazid bin Muawiyyah r.a telah diangkat menjadi penggantinya sebagai Khalifah. 

Namun begitu penduduk Kufah yang rata-ratanya yang menyokong ahlul bait telah menolak kepimpinan Yazid dan ingin melantik Saidina Husain sebagai khalifah yang baru.

Syits bin Rab'ie dari Kufah menulis surat kepada Saidina Husain menjemput beliau ke Kufah untuk tujuan tersebut. Mereka bukan sekadar berjanji akan taat setia kepada kepimpinan Saidina Hussain malah mereka sanggup untuk menghunus senjata demi membela beliau serta menjatuhkan kerajaan Bani Umaiyah pimpinan Khalifah Yazid.

Mendengarkan sokongan yang padu dari penduduk Kufah, maka beliau (Saidina Husain) mengutuskan Muslim bin ‘Aqil untuk meninjau keadaan sebenar di Kufah. Saidina Husain memaklumkan niat pemergiannay ke Kufah kepada para sahabat serta ahli keluarga untuk mendapatkan pandangan mereka.

Namun demikian para sahabat serta ahli keluarganya seperti ‘Abdullah Ibnu Abbas, Muhammad bin al-Hanafiyah, ‘Abdul Rahman bin Hisyam al-Makhzumi, ‘Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib, Abdullah bin Muti’ al-Afdawi, ‘Amru bin Sa’id, ‘Abdullah bin ‘Umar, Abu Sa’id al-Khudri dan lain-lain menasihat dan cuba menghalang niat Saidina Husain tersebut.

Ini adalah kerana mereka tidak percayakan kejujuran penduduk Kufah. Menurut mereka, penduduk Kufah inilah kelompok yang pernah menyokong ‘Abdullah Ibnu Saba’ yang terlibat dalam pembunuhan ‘Uthman bin ‘Affan r.a, mengkhianati Saidina ‘Ali serta Saidina Hassan r.a. Mereka berpandangan sokongan kuat yang menurut khabarnya datang dari penduduk Kufah hanyalah palsu dan tindakan mereka ini merupakan dalih mereka untuk menimbulkan susana kacau-bilau di dalam masyarakat Islam.

Bagaimanapun nasihat mereka gagal untuk menghentikan hasrat Husain untuk ke Kufah. Saidina Hussain pernah berkata, "saya bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan saya telah melakukan sesuatu yang telah ditentukan kepada saya tanpa mengira ia mendatangkan keburukan kepada diri saya atau memberikan keuntungan kepada saya.

Lalu ‘Abdullah bin Yahya berkata: Apakah mimpi anda itu?

Jawab al-Hussain: Saya tidak dapat menceritakannya kepada seseorangpun, malah saya tidak boleh memberitahu kepada seseorangpun sehingga saya bertemu dengan Allah (kematiannya) – Rujuk Tarikh al-Umam wa al-Muluk, jilid 4, ms. 388. Penulis nukil dari buku Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula, ms. 270.

Malah Saidina Husain sudah tekad mengatakan, "Saya sudah melakukan istikharah dan akan berangkat kesana".

Apabila mendengar pergerakan rombongan Saidina Hussain bersama 72 pengikutnya ke Kufah maka Yazid memerintahkan gabenor beliau di Basrah iaitu Ubaidullah bin Ziyad serta tenteranya untuk berangkat ke Kufah bagi memantau pergerakan Saidina Hussain serta kebangkitan orang-orang Kufah.

Pesanan Yazid kepada Ubaidullah bin Ziyad: "Saya mendapat tahu bahawa Husain telah menuju ke Iraq. Oleh itu berkawallah di kawasan-kawasan perbatasan negeri. Sesiapa yang diragui, tahanlah dia dan sesiapa yang tertuduh tangkaplah dia. Tetapi jangan engkau perangi kecuali orang yang memerangi mu dan tulislah selalu kepada ku tentang apa yang berlaku". – Al-Bidayah Wa al-Nihayah, jilid 8, ms. 165. Dinukil dari artikel Syiah Pembunuh Saidina Husain di Karbala yang ditulis oleh Mawlana Muhammad Asri Yusoff.

PEMBUNUH SEBENAR SAIDINA HUSSAIN
Terdapat dua versi riwayat kisah pembunuhan Saidina Husain di Karbala yang berlaku pada 10 Muharram 61H;
Versi Pertama
Ubaidillah bin Ziyad, gabenor Kufah dikatakan amat membenci Saidina Husain telah bertindak berlebihan dari arahan sebenar Yazid lalu menyerang Saidina Hussain dan rombongannya di Karbala. Tindakan Ubaidillah bin Ziyad bertujuan untuk menunjukkan kehebatannya kepada khalifah. Tindakan penduduk Kufah yang  sanggup untuk berkorban jiwa dan raga untuk mengangkat Saidina Husain telah melarikan diri apabila melihat kemaraan tentera Ubaidillah bin Ziyad. 

Maka terpaksalah Saidina Hussain dan rombongannya yang hanya berjumlah sekitar 70 orang berhadapan dengan tentera Ubaidillah yang jauh lebih besar jumlahnya dari mereka. 

Sampai akhirnya, terbunuhlah Saidina Husain r.a sebagai orang yang dizalimi dan sebagai syahid di tangan kerakusan Ubaidillah. Kepala Saidina Ali dipenggal dan disusuk dengan pedang. Tindakan Ubaidillah amat tidak disenangi oleh pegawai-pegawai tenteranya, Anas bin Mâlik, Zaid bin Arqam dan Abu Barzah r.a yang berada di situ. Menurut riwayat ath-Thabrâni rahimahullah dari hadits Zaid bin Arqam r.a :

فَجَعَلَ قَضِيْبًا فِي يَدِهِ فِي عَيْنِهِ وَأَنْفِهِ فَقُلْتُ ارْفَعْ قَضِيْبَكَ فَقَدْ رَأَيْتُ فَمَّ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَوْضِعِهِ

"Lalu dia mulai menusukkan pedang yang di tangannya ke mata dan hidung Husain r.a. Aku (Zaid bin Arqam) mengatakan, "Angkat pedangmu, sungguh aku pernah melihat mulut Rasulullah (mencium) tempat itu".

Demikian juga riwayat yang disampaikan lewat jalur Anas bin Malik r.a :

فَقُلْتُ لَهُ إِنِّي رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَلْثِمُ حَيْثُ تَضَعُ قَضِيْبَكَ , قَالَ : " فَانْقَبَضَ

Aku (Anas bin Malik) mengatakan kepadanya, "Sungguh aku telah melihat Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam mencium tempat dimana engkau menaruh pedangmu itu." Lalu Ubaidullah mengangkat pedangnya. 

Versi Kedua
Wakil Saidina Husain di Kufah iaitu Muslim bin ‘Aqil telah menghidu konspirasi yang sedang dirancang oleh penduduk Syiah di sana. Muslim telah dibunuh oleh penduduk Kufah sebelum beliau sempat mengutuskan ‘Umar bin Saad bin Abi Waqqas kepada Saidina Husain yang semakin hampir tiba ke bandar Kufah tentang kecurangan penduduk Kufah. Maka Saidina Husain membatalkan hasratnya untuk ke Kufah dan mengubah laluan rombongannya menuju ke Syam untuk menemui Yazid.

Penduduk Kufah mula panik dengan perubahan arah tersebut kerana sekiranya Saidina Husain berbai’ah kepada Yazid maka musnahlah segala perancangan kotor mereka untuk memporak-perandakan kesatuan umat Islam dan sudah pasti kedudukan mereka akan terancam.

Menurut ulamak Syiah sendiri iaitu Mulla Baaqir Majlisi, tentera Kufah lengkap bersenjata dari Kufah mengejar rombongan Saidina Husain dan mereka bertembung di Karbala. Syits bin Rab’ie mengetuai 4000 bala tentera untuk menentang Saidina Husain dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Saidina Hussain (Jilaau Al'Uyun dan Khulashatu Al Mashaaib, m.s. 37).

Baqir Majlisi turut mencatat, “Sekumpulan orang-orang Kufah terkejut oleh satu suara ghaib. Maka berkatalah mereka, ” Demi Tuhan! Apa yang telah kita lakukan ini tak pernah dilakukan oleh orang lain. Kita telah membunuh “Ketua Pemuda Ahli Syurga” kerana Ibn Ziad anak haram itu. Di sini mereka mengadakan janji setia di antara sesama mereka untuk memberontak terhadap Ibn Ziad tetapi tidak berguna apaapa”. (Jilaau al-’Uyun, hal. 430)

Manakala di dalam kitab A’yanus Syi’ah pengarangnya Sayyid Muhsin al-Amin mengatakan bahawa, “Seramai dua puluh ribu penduduk Iraq telah berbai’ah kepada Husin kemudian mereka mengkhianatinya lalu memberontak terhadapnya dalam keadaan bai’ah masih lagi berada di tengkuk-tengkuk mereka dan membunuhnya”.(A’yanus Syi’ah jilid 1 hal 34).

Versi kedua ini menafikan kisah–kisah kezaliman yang dilakukan oleh tentera Yazid ke atas rombongan Saidina Husain, versi kezaliman Yazid adalah datangnya dari sumber pengikut Syiah iaitu Abu Mukhnaf, Al Kalbi dan anaknya Hisyam dan lain–lain.

KATA-KATA TERAKHIR SAIDINA HUSAIN
Terdapat riwayat bahawa ucapan Saidina Husain sebelum terbunuh di Karbala, "Ya Allah, berilah putusan di antara kami dan di antara orang-orang yang mengajak kami untuk menolong kami, namun ternyata mereka membunuh kami." – Rujuk buku Pengkhianatan Pengkhinatan Syiah Dan Pengaruhnya Terhadap Kekalahan Umat Islam karya Dr. Imad Ali Abdus Sami’, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta 2006, ms. 35-36.

Mulla Baaqir Majlisi juga telah meriwayatkan kata-kata terakhir Saidina Husain sebelum syahid di Karbala: "Wahai orang-orang Kufah! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat niat-niat jahat kamu. Wahai orang-orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kami di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepada kamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-musuh di dalam menentang kami." – Mulla Baaqir Majlis, Jilaau al-‘Uyun, ms. 391. Dinukil dari artikel Syiah Pembunuh Sayyidina Hussain di Karbala.

Seterusnya Mulla BaaqirMajlisi juga merakamkan doa Saidina Hussain terhadap golongan Syi’ah: "Binasalah kamu! Tuhan akan membalas bagi pihakku di dunia dan di akhirat… Kamu akan menghukum diri kamu sendiri dengan memukul pedang-pedang di atas tubuh mu dan muka mu dan kamu akan menumpahkan darah kamu sendiri. Kamu tidak akan mendapat keuntungan di dunia dan kamu tidak akan sampai kepada hajatmu. Apabila mati nanti sudah tersedia azab Tuhan untuk mu di akhirat. Kamu akan menerima azab yang akan diterima oleh orang-orang kafir yang paling dahsyat kekufurannya." - – Mulla Baaqir Majlis, Jilaau al-‘Uyun, ms. 409. Dinukil dari artikel Syiah Pembunuh Sayyidina Hussain di Karbala.

SAKSI PERTEMPURAN
Ali Zainal Abidin salah seorang anak Saidina Husain yang turut serta di dalam rombongan ke Kufah dan yang masih hidup selepas berlakunya peristiwa itu pula berkata kepada orang-orang Kufah lelaki dan perempuan yang merentap dengan mengoyak-ngoyakkan baju mereka sambil menangis. Beliau berkata, " Mereka ini menangisi kami. Tidakkah tidak ada orang lain yang membunuh kami selain mereka ?" (At Thabarsi-Al Ihtijaj, m.s. 156).

Thabarsi seorang ulama Syiah menukilkan kata-kata Ali Zainal Abidin kepada orang-orang Kufah. Kata beliau, " Wahai manusia (orang-orang Kufah)! Dengan Nama Allah aku bersumpah untuk bertanya kamu, ceritakanlah! Tidakkah kamu sedar bahawasa kamu mengutuskan surat kepada ayahku (menjemputnya datang), kemudian kamu menipunya? Bukankah kamu telah memberikan perjanjian taat setia kamu kepadanya? Kemudian kamu membunuhnya, membiarkannya dihina. Celakalah kamu kerana amalan buruk yang telah kamu dahulukan untuk dirimu".(Al- Ihtijaj juz 2 hal. 306).

Saidatina Zainab, saudara perempuan Saidina Husain yang terselamat dari peristiwa itu juga mendoakan keburukan untuk orang Kufah. Katanya, " Wahai orang-orang Kufah yang khianat, penipu! Kenapa kamu menangisi kami sedangkan air mata kami belum lagi kering kerana kezalimanmu itu. Keluhan kami belum lagi terputus oleh kekejamanmu. Keadaan kamu tidak ubah seperti perempuan yang memintal benang kemudian dirombaknya kembali. Kamu juga telah merombak ikatan iman dan telah berbalik kepada kekufuran...Adakah kamu meratapi kami padahal kamu sendirilah yang membunuh kami. Sekarang kamu pula menangisi kami. Demi Allah! Kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa. Kamu telah membeli keaiban dan kehinaan untuk kamu. Tompokan kehinaan ini sama sekali tidak akan hilang walau dibasuh dengan air apapun". (Jilaau Al ' Uyun, ms 424).

Ummu Kulthum anak Saidatina Fatimah pula berkata" Wahai orang-oang Kufah! Buruklah hendaknya keadaanmu. Buruklah hendaklah rupamu. Kenapa kamu menjemput saudaraku Husain kemudian tidak membantunya bahkan membunuhnya, merampas harta bendanya dan menawan orang-orang perempuan dari ahli rumahnya. Laknat Allah ke atas kamu dan semoga kutukan Allah mengenai mukamu".

Beliau juga berkata, " Wahai orang-orang Kufah! Orang-orang lelaki dari kalangan kamu membunuh kami sementara orang-orang perempuan pula menangisi kami. Tuhan akan memutuskan di antara kami dan kamu di hari kiamat nanti". (Ibid, ms 426-428)

Manakala Fatimah anak perempuan Saidina Husain pula berkata, " Kamu telah membunuh kami dan merampas harta benda kami kemudian telah membunuh datukku Ali (Saidina Ali). Sentiasa darah-darah kami menitis dari hujung-hujung pedangmu……Tak lama lagi kamu akan menerima balasannya. Binasalah kamu! Tunggulah nanti azab dan kutukan Allah akan berterusan menghujani kamu. Siksaan dari langit akan memusnahkan kamu akibat perbuatan terkutukmu. Kamu akan memukul tubuhmu dengan pedang-pedang di dunia ini dan di akhirat nanti kamu akan terkepung dengan azab yang pedih "(Al- Ihtijaj juz 2 hal. 306).

SELEPAS PERTEMPURAN
Abdullah ibnu Umar r.a ( Ibnu Umar ) seorang sahabat Rasulullah s.a.w turut mengatakan, penduduk Kufah lah yang bertanggungjawab ke atas kematian Saidina Hussain.

Khalifah Yazid yang ketika itu berada di Syam sangat menyesal terjadinya peristiwa menyedihkan itu. kerana bapanya, Muawiyah berpesan agar berbuat baik kepada kerabat Rasulullah s.a.w. Setelah peristiwa itu Yazid telah memberi perlindungan kepada ahli keluarga Saidina Husain yang terselamat dari serangan tersebut sehinggalah mereka kembali selamat ke Madinah.

HARI PERINGATAN SAIDINA HUSAIN
Daripada peristiwa kekejaman di Karbala, setiap 10 Muharram pada hari Asyura wujudnya ritual hari kesedihan dan ratapan dikalangan penganut Syiah untuk kesyahidan Saidina Husain seperti menampar-nampar, berteriak, merobek-robek dan melaknat para sahabat.

Salasilah Pecahan Syiah

Syiah membentuk 10–20% di kalangan komposisi penduduk Islam di dunia dan merupakan rumpun kedua terbesar Islam selepas Islam Sunni, Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka menyakini kepimpinan Imam hendaklah dari keturunan Ali bin Abi Talib sebagai Imam pertama. Syiah berpecah kepada beberapa kelompok, yang terbesar ialah Syiah Imam Dua Belas dari pecahan Syiah Imamiyah. Istilah syiah secara umum lazimnya merujuk kepada kelompok Syiah Imam Dua Belas ini.



Syiah Zaidiyyah
Selepas Zaid bin Ali meninggal dunia, pengikut-pengikutnya mengasaskan satu mazhab yang terbina di atas fikrahnya dikenali sebagai Zaidiyyah, iaitu nisbah kepada namanya Zaid bin Ali. Bagi mereka yang menolak kepimpinan atau keimaman Zaid bin Ali dinamakan ar-rafidhah.

Syiah Kaisaniyah
Terdapat kelompok minoriti yang dikenali dengan sebutan “Kaisaniyah” menjadikan putera ketiga Saidina Ali a.s. yang bernama Muhammad bin Ali sebagai imam keempat. Beliau adalah anak Saidina Ali dengan isterinya Haulah dari bani Hanifah lalu dikenali Muhammad al-Hanafiah sempena nama kabilah ibunya. Pengikut-pengikutnya menyakini bahawa ia adalah Imam Mahdi a.s. yang ghaib di gunung Ridhawi ketika diburu pemerintah kerana disebabkan oleh pengikut-pengikutnya yang melampau. Pengasasnya adalah Mukhtar bin Ubai al-Thaqafi yang merupakan khadam kepada Muhammad bin Ali bin Abu Thalib. 

Syiah Imamiyah
Sebahagian besar dari mereka datangnya dari golongan ar-Rafidhah. Syiah Imamiyah merupakan aliran Syiah yang paling besar. Ianya juga disebut Syiah Jafariah untuk membezakan dengan puak syiah Zaidiyah dan Kaisaniyah. Terdapat beberapa kelompok kecil dari golongan imamiyah diantaranya Imam Enam (setakat Imam Jafariah), Imam Tujuh (Ismailiah), Imam Lapan (Waqfiyah iaitu sehingga Imam Ali Ridha) dan Imam Dua Belas ataupun  Ithna ‘Asyariah, ialah cabang yang terbesar. Lain-lain dalam lingkungan Imamiyah ialah, Muhammadiah, Baqiriah, Nawuusiah, Syumaitiah, ‘Ammariah, Mubarakiah, Musawiah, Qat’iah, Hasyimiah, Zurariah, Yunusiah, Syaithaniah, Kamiliah.

Syiah Ismailiyah
Walaupun didalam kelompok Imamiyah, namun mereka adalah kelompok Syiah yang kedua terbesar selepas Ithna ‘Asyariyah. Kebanyakannya tinggal di India dan Afrika Timur Utara. Kumpulan ini diasaskan oleh pengikut-pengikut Ismail bin Ja'far (721 – 755), iaitu anak pertama Jaafar ash-Shadiq dan abang kepada Musa al-Kazim. Golongan ini mengamal aliran kebatinan yang melibatkan persoalan falsafah, ilmu kalam, tasawuf ,perbandingan agama dan kebebasan mutlak terhadap manusia.

Kelompok terbesar Ismailliyah ialah Aga Khan (Kelompok Nizari), diikuti Bohra Dawoodi (Kelompok Tayyabi) dan Druze.

Agama Baha'i adalah antara agama baru sekarang ini sebenarnya mempunyai kaitannya untuk menghidupkan semula ajaran Ismailliyah. Bagaimanapun agama Baha'i berbeza dengan Syiah, walaupun asal usul pemimpinnya adalah dari Ismailliyah.

Syiah Alawi Nusairiyah
Golongan Syiah yang lebih kecil, seperti Alawi Nusairiyah pula berasal dari ajaran seorang syiah yang bernama al-Kashibi. Al-Kashibi dikatakan pengikut kepada Abu Shu'ayb Muhammad ibn Nusayr (Ibn Nusair ). Ibn Nusayr adalah murid kepada Imam ke-11 , Hassan al-Askari. Mereka mempunyai pengikut di Lubnan, Turki dan Syria.

Pengiktirafan Golongan Syiah
Antara gerakan-gerakan lain berasal dari syiah ialah seperti gerakan Yazidiah, Baha’i, Qadianiah, Hizbul Jumhuri, Ahbash, Ansar, Harakah Amal dan sebagainya.

Walaupun semua golongan ini adalah dari kelompok syiah ataupun berasal dari fahaman syiah, namun mereka tidak mendapat pengiktiran dari sesama mereka dan sesetengahnya mengkafirkan antara satu sama lain.

Ahli Sunnah Wal Jamaah kini juga tidak mengiktiraf semua golongan Syiah sebagai mazhab Islam yang perlu diikuti malah termasuk Syiah Zaidiyah. Ini kerana pengikut Zaidiyah sekarang berubah dan condong kepada fahaman Muktazilah.

Permulaan Gerakan Anti-Sahabat

Gerakan anti-sahabat Rasulullah dimulai oleh Abdullah ibn Saba’ (Ibn Saba') yang berasal dari kota Sana’a, Yaman. Dia adalah seorang bangsa yahudi yg menganut islam pada zaman Uthman tetapi tidak memperbaiki keislamannya. 

Saidina Uthman bin Affan diangkat menjadi Khalifah selepas Khalifah Umar bin Khatab dibunuh oleh Abu Lu’lu Al-Majusi . Ketika itu, berlaku pergolakan dan keresahan di kalangan umat Islam. Dengan ketegasan sikap dan kebijaksanaan Uthman, suasana pemerintahan dapat dikendalikan dengan aman dan ramai yang memeluk islam termasuk seorang pemuda Yahudi dari Yaman bernama Abdullah bin Saba'.

Bagaimanapun, Abdullah bin Saba' mempunyai tujuan lain untuk memeluk Islam. Dia berharap Khalifah selaku pemerintah negara Islam akan memberi penghormatan kepadanya dengan diberikan jawatan kedudukan tinggi dalam kerajaan. Bagaimanapun Khalifah Uthman menolak dan berkata;

"Aku hanyalah pelayan umat, aku diangkat menjadi Khalifah bukan atas keinginan aku, tetapi kesepakatan umat Islam".

Khalifah Uthman berkata lagi,

"Tidakkah tuan tahu bahawa jawatan bukan satu kehormatan, tetapi satu amanah. Apakah tuan sanggup memikul amanah itu, sedangkan tuan baru memeluk Islam dan lebih daripada itu tidak layak sesuatu kedudukan diminta atau diminati kerana Allah yang memberi atau mencabut kedudukan seseorang".

Oleh itu Abdullah bin Saba' kecewa dan menyimpan dendam kepada Khalifah Uthman, umat Islam dan Agama Islam. Maka, antara dakyahnya ialah menabur fitnah dan menimbulkan keraguan kepada orang Islam. Beliau mengatakan bahawa pewaris Nabi dan Khalifah yang sah adalah Saidina Ali bin Abi Talib, bukannya Abu Bakar, Umar, Uthman atau sahabat-sahabat lain. Dia menjelajah ke seluruh tempat untuk menyebar fitnah dan pengaruhnya tersebar luas ke Mesir, Kufah dan Basrah. Untuk menyakinkan orang ramai akan kata-katanya dan bukannya atas kepentingan diri sendiri, beliau mengguna dan menjaja nama Saidina Ali dan keluarga Rasulullah s.a.w (ahlul bait). Kononnya hujah-hujah beliau adalah datangnya dari mulut Saidina Ali dan Rasulullah sendiri.

Beliaulah juga orang yang terawal meletakkan Saidina Ali ke tahap yang lebih tinggi dari Rasullullah s.a.w. Beliau pernah berkata," Sesungguhnya yang menjadi Nabi pilihan Allah adalah Ali bin Abi Talib. Hanya kebetulan pada ketika itu malaikat Jibrail mengantuk sehingga wahyu Allah diberikan kepada Muhammad, iaitu orang yang tidak berhak".

Mendengar berita itu, Ali bin Abi Talib sangat marah, dan ketika beliau diangkat menjadi khalifah keempat mengganti Uthman, beliau memerintahkan Abdullah bin Saba' diusir dari Madinah. Tidak berhenti setakat itu,  Abdullah bin Saba' tetap meneruskan untuk memporak peranda sesama kaum muslimin serta hubungan Saidina Ali dan para sahabat yang lain secara halus.

Hakikatnya Abdullah bin Saba' serta pengikut-pengikutnya bukanlah penyokong tulen atau syiah Saidina Ali tetapi berpura-pura menjadi pengikut kuat Saidina Ali dan Ahlul Bait. Beliau juga mempunyai ramai pengikut yang dikenali sebagai Sabaiyyah juga tergolong sebagai orang-orang munafik yang lagaknya seperti orang Islam yang taat dan menyelinap dalam tentera Ali. Golongan Sabaiyyah ini lah yang menjadi punca berlakunya Perang Jamal.

Bagi golongan sunni, Ibn Saba' atau Sabaiyyah adalah perintis kepada perpecahan umat Islam dan seterusnya mendorong kepada beberapa pecahan ummah termasuk kemunculan fahaman syiah. Beliau lah  sebagai tokoh berperanan utama yang menyelipkan pemikiran-pemikiran sesat dalam ajaran syiah.

Kitab-kitab Syiah seperti Syarh Nahjul Balaghah Li Ibn Abil Hadid ada menceritakan berkenaan Ibn Saba' walaupun terdapat golongan syiah yang menafikan kewujudan seseorang yang bernama Ibn Saba' atau Abdullah bin Saba'.

Syiah Imamiyah: Sejarah Kewujudan 12 Imam Syiah

12 Imam: ilustrasi imaginasi pengikut syiah

Kumpulan yang paling masyhur dari kalangan pecahan syiah ialah Syiah Imam Dua Belas (al-Ithna ‘Asyariyyah) ataupun dikenali sebagai Imamiyah/Jaafariah. di Iran yang merangkumi 90% penduduk di Iran dan sebahagian besar penduduk Iraq. Pergerakan Hizbollah di Lubnan juga adalah dari golongan Syiah Imam Duabelas. Dan inilah kelompok syiah yang paling besar pada masa kini iaitu menyumbang kira-kira 80% orang syiah di dunia.

Daripada salasilah keturunan Saidina Ali, golongan syiah ini meletakkan mereka sebagai 12 imam yang tertibnya terdiri daripada;

1. Ali bin Abi Talib
2. Al-Hasan bin Ali
3. Al-Husain bin Ali
4. Ali Zainal Abidin bin al-Husain
5. Muhammad al-Baqir bin Zainal Abidin
6. Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir
7. Musa al-Kazim
8. Ali ar-Ridha
9. Muhammad al-Jawad
10. Ali al-Hadi
11. Al-Hasan al-‘Askariy
12. Muhammad al-Mahdi

Ali Zainal Abidin, Muhammad al-Baqir
Salah seorangnya ialah anak Saidina Husain iaitu, Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali r.a, (658M – 713M), namun tidak dilihat sebagai musuh kepada pemimpin Umayyah. Tidak ada satu riwayat pun yang mengatakan beliau mempunyai kepercayaan atau ideologi yang berbeza dengan para sahabat. Beliau merupakan ulamak yang zuhud, dan anak-anak beliau, Muhammad al-Baqir (676M – 743M) dan Zaid merupakan sangat tinggi kewarakan dan ketaqwaan mereka. Segi akidah dan fekah mereka berdua juga sama sepenuhnya dengan ulamak sunnah dari kalangan sahabat dan tabi’in.

Kalau pun ada perbezaan hanyalah pendapat Zaid yang melihat Ali bin Talib lebih utama menjadi khalifah daripada Abu Bakar as-Siddiq. Zaid mengiktiraf kelebihan tiga khalifah terdahulu, tetapi dia berpendapat Ali lebih afdhal. Dia juga berpendapat "harus" melantik khalifah di kalangan mereka yang kurang afdhal. Dengan itu beliau tidak menafikan kekhalifahan Abu Bakar, Umar dan Usman. Terdapat beberapa pengikutnya bertanyakan pendapatnya mengenai Abu Bakar dan Umar. Maka Zaid mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua. Terdapat pengikutnya tidak bersetuju dan lalu mereka memisahkan diri dari menjadi pengikut Zaid. Golongan ini dikenali sebagai ar-rafidhah (orang yang menolak) kerana mereka menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar dan menolak pendapat Zaid tentang kepimpinan kedua-dua tokoh besar itu. Dan dari golongan inilah yang menjadi pelopor kepada Mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah, iaitu yang dikenali mazhab Syiah yang terbesar, Imamiyah. Dari sinilah bermulanya sejarah kenapa pihak sunni menggelar Syiah al-Ithna ‘Asyariyyah sebagai puak ar-Rafidah.

Dalam pemerintahan Umayyah di zaman Hisyam bin Abdul Malik, Zaid meneruskan tradisi datuknya (Saidina Husain) dalam menentang khilafah bani Umayyah dan berakhir dengan beliau terkorban pada tahun 122 H. Selepas kematiannya, pengikut-pengikutnya mengasaskan satu mazhab yang terbina di atas fikrahnya dikenali sebagai Zaidiyyah. Mazhab ini, sekalipun tersenarai di dalam mazhab syiah tetapi ia selari dengan ahli sunnah dalam semua aspek kecuali dalam bab mengatakan Ali lebih utama daripada tiga khalifah ar-rasyidin sebelumnya. Boleh dikatakan hampir tiada perbezaan dalam kebanyakan perkara dengan ahli sunnah.

Jaafar as-Sadiq
Muhammad al-Baqir, meninggal dunia sebelum Zaid selama lapan tahun, iaitu pada tahun 114H telah meninggalkan seorang anak yang alim dan hebat, iaitu Jaafar as-Sadiq (703M – 765M). Dia merupakan salah seorang ulamak yang berpengaruh, seorang faqih yang sangat pintar. Semua pandangannya adalah selari dengan akidah sahabat, tabi’in dan seluruh ulamak sunni. Pengasas mazhab-mazhab Sunni, seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Malik bin Anas, menurut beberapa sumber juga mengambil beberapa hadis dari Imam Ja'far ash-Shadiq.

Istilah Jaafariah digunakan adalah berasal daripada nama Jaafar ash-Sadiq, yang merupakan Imam keenam. Jaafariah selalu digunakan untuk menunjukkan mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah ini, untuk membezakan dengan Syiah Ismailiyah dan Zaidiyah. 

Di akhir pemerintahan Bani Umayyah, gerakan Abbasiyyah bangun memberontak. Gerakan ini menjalin hubungan kerjasama dengan golongan ar-rafidhah. Akhirnya khalifah Bani Umayyah digulingkan pada tahun 132H dan terbangunlah khalifah Abbasiyyah yang dipimpin oleh Abi al-‘Abbas as-Saffah.

Golongan ar-rafidhah berasa kecewa kerana mereka mahukan kepimpinan dipegang oleh salah seorang dari kalangan cucu cicit Ali bin Abi Talib. Maka mereka bangkit semula untuk menggulingkan khilafah ‘Abbasiyyah dengan membentuk satu jamaah yang dikenali sebagai Talibiyyin (nisbah kepada Ali bin Abi Talib) sebagai saingan kepada puak yang dinisbahkan kepada al-‘Abbas bin Abdul Muttalib. Sampai ke saat itu tidak terdapat sebarang perbezaan dari segi akidah dan fiqah kecuali dalam isu Abu Bakar dan Umar. Golongan ar-rafidah menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar, malah secara terang-terangan melaknat mereka berdua.

Musa al-Kazim
Tahun 148H Jaafar as-Sadiq meninggal dunia. Beliau meninggalkan seorang putera bernama Musa al-Kazim (745M – 799M). Ibunya bernama Hamidah Khatun. Dia lahir ketika berlakunya pergolakan antara Bani Umayyah dan Bani Abbasiyah. Beliau juga dikenali sebagai Abu al-Hasan. Musa al-Kazim juga merupakan seorang yang alim dan pernah juga dipenjarakan sewaktu pemerintahan Abbasiyah.

Ali bin Musa ar-Ridha
Musa al-Kazim meninggal dunia pada tahun 183H dengan meninggalkan beberapa orang anak. Antara mereka ialah Ali bin Musa ar-Ridha (765M – 818M). Pada masa zaman Khalifah al- Abbasiyah, al-Ma’mun, beliau mahu mententeramkan keadaan dengan melantik Ali bin Musa ar-Ridha sebagai putera mahkota. Perlantikan ini telah mengundang bantahan yang meluas di kalangan ‘Abbasiyyin (keluarga khalifah). Tetapi Ali ar-Ridha tiba-tiba mati secara mengejut. Golongan at-Talibiyyin menuduh al-Ma’mun telah membunuhnya. Maka sekali lagi timbul pemberontakan demi pemberontakan ke atas pemerintahan Abbasiyah.

Namun tidak ada satupun di antara sebab-sebab yang banyak itu yang menjadi punca kepada perbezaan akidah yang menjadi pegangan mazhab syiah sekarang. Sehingga saat itu, mereka belum lagi mengambil dan berpegang kepada mazhab mereka sendiri yang dipanggil Mazhab Syiah. Hanya yang wujud pada ketika itu adalah pergerakan politik yang bermatlamat untuk mendapatkan kuasa dan menentang pemerintah atas alasan kepimpinan hendaklah dari ahlul bait. Dan juga tidak melibatkan alasan-alasan tauhid seperti yang dipegang oleh Syiah sekarang.

Suara-suara yang mengajak memberontak pemerintahan Abbasiyyah telah tersebar begitu meluas di wilayah Parsi (Iran). Terdapat satu gerakan yang didokong oleh bukan islam yang dinamakan asy-Syu’ubiyyah telah bergabung dengan golongan at-Talibiyyin. Sebahagian penduduk parsi itu menzahirkan kecintaan yang berakar umbi kepada bangsa Parsi dengan segala elemen yang ada padanya termasuk api yang menjadi sembahan mereka.

Muhammad al-Jawad, Ali al-Hadi, Al-Hasan al-‘Askariy, Muhammad al-Mahdi
Selepas kewafatan Ali ar-Ridha, muncul anaknya Muhammad al-Jawad (810M – 835M). Kemudian Muhammad al-Jawad meninggal dunia dibunuh pada tahun 220H. Muncul pula anaknya yang bernama Ali bin Muhammad al-Hadi (827M – 868M). Ali juga kemudiannya terbunuh pada tahun 254H. Muncul pula anaknya al-Hasan bin Ali (846M – 874M) yang mendapat gelaran al-‘Askariy. Beliau mati secara mengejut pada tahun 260H. Beliau tidak mempunyai anak kecuali seorang yang masih kecil berusia lima tahun, bernama Muhammad yang lahir pada tahun 868M. Keadaan bertambah kusut apabila anak yang kecil ini  juga meninggal dunia secara tiba-tiba. Keadaan ini menjadikan puak pemberontak berpecah kepada beberapa kelompok yang sangat banyak. Setiap kelompok adalah berbeza antara satu sama lain dari semua sudut: fikrah, syariah dan akidah.

Syiah al-Ithna ‘Asyariyyah mempercayai 12 imam ini merupakan pewaris-pewaris Nabi Muhammad SAW.  Imam-imam ini dikatakan maksum dan terpelihara dari kesalahan dan dosa.  Mereka juga yakin bahawa anak kecil (Imam ke-12), Muhammad bin al-Hasan al-‘Askariy sebenarnya tidak mati. Bahkan dia berada di tempat persembunyian di atas bukit. Dan dia masih hidup sampai sekarang (kini sudah lebih 1000 tahun). Dan suatu hari nanti dia akan kembali memerintah dunia yang dinamakan al-Mahdi al-Muntazar.

Bagaimanapun, dua belas pemimpin ini tidak mempunyai sebarang perbezaan pendapat berkenaan akidah dan feqah dengan golonan ahli sunnah. Malah ahli sunnah berkeyakinan bahawa pemimpin-pemimpin  ini yang dianggap oleh pengikut Syiah sebagai Imam Syiah mereka adalah sebenarnya dari kalangan sunni yang berpegang kepada doktrin dan prinsip ahli Sunnah.

Permulaan Kemunculan Syiah


Yang biasa menjadi pendapat umum, Syiah dikatakan puak yang menyokong Saidina Ali bin Abi Talib r.a. dalam pertelingkahannya dengan Muawiah bin Abi Sufyan r.a. Namun tidak bermakna pengikut Ali itu syiah dan pengikut Muawiah itu Sunni. Malah, ramai tokoh ahli sunni berkeyakinan bahawa dalam perselisihan yang berlaku di antara dua sahabat Rasulullah s.a.w ini, kebenaran lebih berpihak kepada pihak Ali berbanding dengan Muawiyah.

Sebenarnya, puak Syiah ini muncul selepas pertelingkahan Saidina Husain yang tidak mengiktiraf kekhalifahan Yazid bin Muawiah.

Kisahnya bermula apabila Saidina Husain berangkat dari Madinah menuju ke Kufah, Iraq setelah penduduknya berjanji untuk menyokong, melindungi serta membantunya sekiranya diserang mana-mana pihak. Namun janji-janji tersebut tidak dilaksanakan dan seterusnya menjadi punca syahidnya Husain di pertempuran Karbala.

Setelah Saidina Husain syahid, sebahagian mereka telah menyesali dosa mereka dan memberontak kepada pemerintahan Bani Umayyah. Mereka inilah dikenali sebagai syiah. Ketika itu tidak ada perbezaan akidah melainkan perbezaan gerakan politik yang menentang pemerintahan Bani Umayyah. Ini bermakna Syiah adalah satu gerakan politik semata-mata di awal kemunculannya.

Pengertian Istilah Syiah


Fahaman atau kumpulan syiah ini bukannya wujud pada atau sebelum zaman Rasulullah, malah zaman Khalifah Ali pun, kumpulan syiah ini belum wujud lagi.  Golongan Ansar, Muhajirin, Aus, Khazraj dan Khawarij adalah sebahagian nama-nama golongan yang pernah tercatat dalam sejarah Rasulullah. Tiada bukti yang tertulis menunjukkan wujudnya satu fahaman atau kumpulan yang dinamakan syiah ketika itu. Istilah "syiah" ini mula digunakan selepas kesyahidan cucu Rasulullah s.a.w, Saidina Husain bin Ali.

Syiah dari pandangan golongan syiah itu sendiri bererti pengikut, penyokong dan pencinta yang merujuk kepada Saidina Ali r.a dan ahlul baitnya. 

Menerusi ulama syiah, Fairuz Abadi di dalam Qamus al-Lughat pada kalimat “شَاعَ” menyatakan: Syiah umumnya bererti setiap orang yang mengakui kepimpinan Ali dan Ahlul Baitnya.

Dari mana penggunaan perkataan "Syiah" ini di ambil?

Syiah dari sudut bahasa bererti pengikut. Perkataan ini ada disebutkan di dalam ayat al-Quran menerusi surah as-Safat: 83
واِنَّ مِن شِيعَتِهَِ لاِبرَاهِيم
“Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk Syiah-nya (pengikut Nuh)”

Sementara di dalam ayat lain:
هذا مِن شِيعَتِهِ وهذا من عَدُوِّهِ فاسْتَغَاثَهُ الذِي مِنشِيعَتِهِعَلى الذِي مِن عَدُوِّهِ
“(Orang) ini adalah dari Syiah-nya (pengikutnya) dan (orang) ini adalah dari musuhnya. Lalu Syiah-nya meminta bantuan darinya terhadap lawan musuhnya” [al-Qasas: 15]

Ayat-ayat al Quran ini tidak merujuk kepada golongan syiah (al-Ithna ‘Asyariyyah, Ismailiyyah, Zaidiyyah dsb) yang kita kenali pada hari ini, malah tidak wujud pun pada zaman Nabi Ibrahim. Maksud syiah di dalam al Quran itu merujuk kepada pengikut sesuatu kaum/umat pada masa itu. Istilah itu adalah sekadar kata umum yang bererti pengikut, bukannya nama khas yang dikhususkan kepada pengikut Ali dan Ahlul Baitnya. 

Kumpulan yang bersimpati kepada kesyahidan dan amat menyanjungi Saidina Husain telah mengguna pakai perkataan "syiah" di dalam al Quran, untuk menamakan kumpulan mereka. Dan seterusnya istilah syiah ini sudah menjadi hak eksklusif khusus bagi golongan ini.

Saturday, September 22, 2012

Kekeliruan Umat Islam

Kita selalu disuapkan hujah-hujah dari kalangan orang sunni dan syiah untuk menyesatkan antara satu sama lain, tetapi jarang-jarang sekali kita diberi hujah menegakkan fahaman masing-masing adalah lebih benar dan lebih asli.

Kita biasa mendengar ulama syiah mengkafirkan orang sunni kerana puak sunni menghina ahlul bait. Manakala pula ulama sunni melabel syiah terkeluar dari Islam kerana mengkafirkan orang-orang sunni! Nampak kelihatan seperti berpusing-pusing perbahasan mereka. Ramai pula yang bukan ulama tidak mampu membalas berdasarkan fakta untuk menyokong pendirian masing-masing!

Mana satu yang betul?? Nah aku berikan informasi, mungkin kamu mampu menilai perselisihan ini.