Tuesday, October 23, 2012

Perang Siffin


Sebelum Pertempuran
Situasi pembunuhan Uthman dan kekhalifahan Ali telah dimanipulasi oleh Abdullah bin Saba’ serta pengikut-pengikutnya (Sabaiyyah). Mereka menyebarkan fitnah di kalangan penduduk Syam yang mengatakan bahawa Saidina Ali Bin Abi Thalib bersubahat di dalam peristiwa pembunuhan Saidina Uthman. Oleh kerana itu, dia berlengah-lengah dalam mengambil tindakan terhadap pembunuh Saidina Uthman.

Di Madinah pula, mereka menimbul cerita mengatakan bahawa Muawiyah dan penduduk Syam tidak mahu membai‘ah dan mengakui Saidina Ali sebagai Khalifah. Apabila keadaan semakin tegang, tampil dua sahabat Rasulullah s.a.w untuk meredakan keadaan. Sahabat tersebut ialah Abu Umamah al-Bahili dan Abu Dharda r.a. Mereka berdua pergi ke Syam untuk bertemu dengan Muawiyah.

Setibanya mereka di hadapan Muawiyah, mereka pun berkata, “Wahai Muawiyah.. Mengapakah kamu tidak mahu bai‘ah dan mengakui Saidina Ali sebagai Khalifah yang ke-empat? Lupakah kamu tentang siapakah Saidina Ali itu? Bukankah kamu tahu bahawa Ali Bin Abi Thalib merupakan orang yang terawal memeluk Islam, lebih awal dari kamu dan dan lebih awal dari bapak kamu memeluk Islam. Adakah kamu lupa bahawa Saidina Ali itu merupakan sepupu dan juga menantu kepada Nabi SAW?”

“Wahai Muawiyah.. jangan kamu lupa siapa sebenarnya Saidina Ali, dan dengan segala keistimewaan yang ada pada dia, sesungguhnya dia layak untuk menjadi Khalifah. Maka kenapa kamu tidak mahu bai‘ah kepadanya?”

Mendengarkan pertanyaan dari sahabatnya itu, lalu Muawiyah menjawab: “Janganlah kamu salah faham. Sesungguhnya, aku bukan tidak mengakui Saidina Ali sebagai Khalifah. Sememangnya dia layak menjadi khalifah dan sememangnya aku tidak layak. Tetapi, aku tidak puas hati kerana dia tidak mengambil tindakan terhadap pembunuh Saidina Uthman. Aku tidak berpuas hati pembunuh Uthman dibiarkan bebas. Aku berijtihad bahawa hukuman Qisas mesti dijatuhkan kerana orang ini telah membunuh Uthman. Aku mahukan ini bukan kerana Uthman sepupu aku, tetapi Uthman itu seorang yang baik dan dia tidak patut dibunuh”.

Namun jawapan itu tidak mampu menenangkan keadaan kerana situasi tidak boleh dikawal lagi. Walaupun Muawiyah telah dipecat oleh Ali sebagai gabenor Syam tetapi rakyatnya masih lagi taat setia kepada Muawiyah. Beliau tidak akan berbai’ah kepada Ali sehingga pembunuh Uthman dibunuh. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan.

Mendengar jawapan yang sedemikian, Ali menyiapkan pasukannya seramai 150,000 tentera (disertai juga penduduk Kufah & Basrah) dan mula bergerak dari Kufah kearah Syam. Senario ini menyebabkan Muawiyah juga mempersiapkan pasukannya seramai 130,000 orang.

Menurut Syaikh Muhib Al-Din Al-Khatib rahimahullah (1389H) menjelaskan:

“…lalu Ali berangkat meninggalkan Kufah dan menuju di permulaan jalan yang menuju ke arah Syam dari Iraq. Ali mengisyaratkan supaya orang ramai tetap tinggal di Kufah dan mengirimkan yang selainnya ke Syam. Sampai berada kepada Muawiyah bahawa Ali telah mempersiapkan pasukannya dan Ali sendiri keluar untuk memerangi beliau. Maka para pembesar Syam mengisyaratkan kepada Muawiyah agar dia sendiri turut keluar (untuk berhadapan dengan pasukan Ali). Maka orang-orang Syam berangkat menuju ke Sungai Furat melalui Siffin dan Ali maju bersama pasukannya menuju Siffin juga.

…Seandainya Ali tidak mempersiapkan pasukan yang bergerak dari Kufah nescaya Muawiyah tidak akan bergerak (dari Syam).” [catitan notakaki kepada Al-‘Awashim min Al-Qawashiam, ms. 166 & 168]

Tercetusnya Perang Siffin 
Akhirnya kedua-dua angkatan perang ini bertemu di satu lembah yang bernama Lembah Siffin. Khalifah Ali membuat tuntutan terakhir kepada tentera Muawiyah supaya menyerah dan mengiktiraf beliau sebagai khalifah tetapi Muawiyah menolak dengan meminta pembunuh Uthman dihukum terlebih dahulu sebelum membai’ah Ali.

Akibatnya pada 8 Safar 36H (26 Julai 657), Khalifah Ali mengarahkan serangan dan bermulalah Perang Siffin. Peperangan ini bermula pada hari Rabu, Safar 37H (Mei-Julai 657) dan berakhir pada malam sabtu. Seramai 70 ribu tentera terkorban dari kedua belah pihak. Antara sahabat yang gugur di dalam perang ini ialah Ammar Bin Yasir ra dan Hashim ibn Utba ra.

Ketika pertempuran berlaku, Tentera Ali di unit pasukan Basrah diketuai oleh al-Ashtar berjaya membuatkan Muawiyah berundur dari medan pertempuran. Apabila pertempuran berterusan kepada hari ketiga, Muawiyah berasakan tentera mereka akan kalah.

Amru Al-As akhirnya mencadangkan agar digunakan al-Quran untuk melakukan perundingan. Muawiyah menerima cadangan ini dan mengarahkan orang-orangnya meletakkan 500 buah Quran di hujung tombak dan menjerit, "Undang-undang Tuhan! Ini akan memutuskan di antara kita!" Dengan ini ia bermaksud kedua-dua pihak hendaklah berhenti bertempur dan menyelesaikan pertelingkahan dengan perundingan aman di bawah tatatertib Islam. 

Tindakan ini menyebabkan tentera Ali serba salah dan berhenti bertempur . Khalifah Ali bagaimanapun menyeru tenteranya terus berjuang dengan mengatakan Muawiyah melakukan helah ketika hampir kalah tetapi tentera Ali serba salah dan ragu-ragu untuk meneruskan pertempuran. 

Ali dan al-Ashtar memberi arahan kepada tenteranya tetapi tidak dapat mengubah fikiran mereka semua. Mereka menuduh al-Ashtar menjadi penghasut yang suka peperangan, malah mengugut akan berpihak kepada Muawiyah. Dengan keadaan tersebut Ali tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menamatkan pertempuran dan menerima perundingan dengan pasukan Muawiyah. Beberapa bulan kemudian, Ali menghantar ketua utusannya Abu Musa al-Asy’ari untuk berunding dengan utusan Muawiyah, Amru bin al-As yang dinamakan Peristiwa Tahkim. 

Peristiwa Tahkim
Terdapat 2 versi penceritaan berkenaan Peristiwa Tahkim ini. Menurut versi yang popular dan menjadi pegangan Syiah ialah dari kitab Tarikh al-Tabari r.h yang diriwayatkan oleh Abu Mikhnaf Lut bin Yahya al-Kufi sebagai berikut:

“Kedua-dua utusan bersetuju untuk memecat Ali r.a dan Muawiyah r.a dan menyerahkan perlantikan Khalifah yang baru kepada kaum muslimin. Abu Musa mengisytiharkan pemecatan Ali dan mengembalikan hak perlantikan Khalifah kepada kaum muslimin. Kemudian Amru bangun mengisytiharkan Muawiyah r.a sebagai Khalifah. Keadaan ini menimbulkan huru hara dan Abu Musa al-Asy’ari r.a telah melaknat Amru bin al-As r.a dengan memanggil beliau sebagai pengkhianat dan anjing. Kemudian kedua-dua pihak kembali kepada ketua masing-masing, Ahli Kufah kepada Ali r.a kecuali Abu Musa yang melarikan diri kerana malu dan Ahli Syam kembali kepada Muawiyah” [Tarikh al-Tabari, juz 5, Bab Berita Perhimpunan Keduanya (Ali dan Muawiyah)].

Abu Mikhnaf Lut bin Yahya al-Kufi adalah periwayat yang banyak meriwayatkan kisah-kisah sejarah dan menjadi rujukan fakta bagi golongan Syiah. Abu Mikhnaf adalah seorang yang tidak dipercayai pada riwayatnya oleh golongan sunni (ASWJ). Menurut pandangan ASWJ menyatakan Imam al-Bukhari ada membicarakan Peristiwa Tahkim didalam kitab Tarikh Kabir [5/398] dan Ibn Asakir dalam kitab Tarikh Damsyiq [46/175], al-Daruqatni sebagaimana yang dinyatakan Abu Bakar Ibn al-Arabi r.h dalam al-Awasim [m.s 143-144] sebagai berikut:

“Setelah Muawiyah r.a memecat Amru bin al-As r.a daripada jawatan gabenor Mesir  (ketika itu Muawiyah r.a telah menjadi Khalifah), Amru bin al-As r.a telah membina fustat (khemah tempat tinggal) beliau berdekatan dengan fustat Muawiyah r.a dan selalu duduk di khemahnya itu, lalu Muawiyah r.a telah mengutusku kepadanya dan berkata: ‘Pergilah kamu kepadanya dan beritahu kepadanya telah sampai kepadaku sesuatu yang aku tidak suka berkenaannya, tanya kepadanya berkenaan peristiwa ketika dia berkumpul dengan Abu Musa al-Asy’ari (semasa Peristiwa Tahkim) bagaimana mereka lakukan?’ Maka aku pergi kepadanya dan berkata: ‘Ceritakanlah kepadaku bagaimana sebenarnya yang berlaku pada hari kamu berjumpa dengan Abu Musa al-Asy’ari?’. Kata beliau: ‘Manusia telah bercerita dengan pelbagai cerita tetapi apa yang mereka ceritakan itu bukanlah yang sebenarnya demi Allah, tetapi apabila aku telah bertemu dengan Abu Musa aku berkata kepada beliau: Apakah pendapat kamu berkenaan perkara ini? Kata Abu Musa: Aku lihat perkara ini (pertlingkahan) berlaku antara kaum yang telah diredhai Rasulullah s.a.w ketika baginda wafat. Kataku: Bagaimana pendapat kamu mengenai aku dan Muawiyah? Kata Abu Musa: Jika dia (Ali r.a) meminta bantuan kamu berdua maka kamu berdua perlu menolongnya namun jika dia tidak meminta bantuan kamu maka demikianlah urusan Allah pada kamu berdua”.

Kesan Peristiwa Tahkim
Peristiwa Tahkim ini berakhir dengan tiada keputusan muktamad dan tidak sah kerana tidak ditandatangani oleh Khalifah Ali. Saidina Ali r.a terus kekal sebagai Khalifah dan Saidina Muawiyah r.a terus kekal sebagai Gabenor Syam. 

Perundingan dalam Peristiwa Tahkim ini dibuat beberapa bulan selepas perang dan jika perundingan dibuat serta merta, Ali mungkin akan meneruskan kembali pertempuran.

Sementara itu pengikut Ali berpecah. Sekumpulan tentera berjumlah 12,000 orang berpecah daripada tentera utama yang tidak bersetuju hasil perbincangan ini. Tentera ini akhirnya menjadi teras kepada golongan Khawarij. Khawarij berpakat untuk membunuh Ali r.a, Mu’awiyah r.a, Amr al-As r.a  dan Abu Musa al-Asy’ari r.a. Bagaimanapun rancangan mereka hanya berjaya membunuh Khalifah Ali.

Akhir sekali, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah telah menegaskan:

“Dan Muawiyah bukanlah daripada kalangan mereka yang memilih untuk memulakan perang, bahkan beliau daripada kalangan yang paling menghendaki agar tidak berlaku perang ….. yang benar adalah (dengan) tidak (sepatutnya) berlakunya peperangan. Meninggalkan peperangan adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Tidaklah dalam peperangan tersebut (Perang Siffin, wujud satu) pihak yang benar. Akan tetapi Ali lebih mendekati kebenaran berbanding Muawiyah. Peperangan adalah peperangan kerana fitnah, tidak ada yang wajib dan tidak ada yang sunat dan meninggalkan perang adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Hanya sahaja Ali adalah lebih benar. Dan ini merupakan pendapat (al-Imam) Ahmad dan kebanyakan ahli hadis dan kebanyakan para imam fiqh dan ini juga merupakan pendapat para tokoh sahabat dan tabi’in yang selalu mendapat kebaikan.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 447-448]

No comments:

Post a Comment