Monday, December 22, 2014

Benarkah Syiah Meragui Mushaf Al-Quran?

Walaupun al-Quran adalah mukjizat dijamin terpelihara oleh Allah s.w.t, namun kelompok syiah meragui kandungan al-Quran yang dianggap mempunyai kekurangan atau diseleweng oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. 

Dalam pandangan mereka al-Quran Mushaf Utsmani (dikumpulkan sewaktu Khalifah Uthman ibn Affan) dikatakan tidak asli dan banyak peruabahan seperti yang dijelaskan oleh ulama hadis syiah, Abu Ja’far Muhammad bin Ya’qub Al-Kulaini dalam kitab al-Kafi. Di dalam kitab tersebut mengandungi kata-kata Abu Abdullah (Ja’far Ash-Shadiq) yang menegaskan "Sesungguhnya al-Qur’an yang dibawa oleh Jibril kepada Muhammad memiliki 17,000 ayat”

Abu Abdullah juga pernah dikatakan berkata“Sesungguhnya di sisi kami ada mushaf Fathimah, mereka tidak tahu apa mushaf Fathimah itu”. Lalu seseorang bernama Abu Bashir berkata: ‘apakah mushaf Fathimah itu?’ 
Abu Abdullah berkata: ”iaitu mushaf 3 kali ganda (ayat) dari apa yang terdapat di dalam mushaf kalian. Demi Allah, tidak ada padanya satu huruf pun dari al-Quran kalian”. (Dinukil dari kitab asy-Syi’ah wal Qur’an)

Oleh kerana itu, salah seorang ulama hadis mereka yang bernama Husain bin Muhammad At-Taqi An-Nuri Ath-Thabrisi menegaskan di dalam kitabnya Fashlul Khithab fii Itsbati Tahrifi Kitabi Rabbil Arbab, bahawa al-Qur’an yang ada sekarang telah mengalami perubahan besar dan mengalami banyak penyimpangan dan penyelewengan. Sesetengah ulamak syiah mempercayai terdapat dua surah tambahan iaitu an-Nurayn dan al-Wilayah (yang mengisahkan Saidina Ali dilantik sebagai pengganti kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w). 

Menurut ulamak Syiah bernama Muhammad Shirazi dalam bukunya The Qur'an made simple, percaya versi lengkap al-Quran telah disimpan berhampiran dengan mimbar Nabi Muhammad s.a.w di dalam Masjid Madinah. Namun begitu, pandangan tersebut belum dibuktikan oleh sesiapa.

Selain itu, terdapat juga sebahagian ulama syiah menafikan mereka meragui mushaf al-Quran. Mereka yakin tuduhan ini adalah satu pendustaan yang direka oleh golongan wahabi. Mereka menjelaskan bukan kerana al-Quran tidak lengkap tetapi tidak benar-benar dalam susunan sebagaimana yang diturunkan. Sebagai fakta, al-Quran yang kita gunakan yang telah disusun oleh para sahabat tidak mengikut dalam urutan yang telah diturunkan.

Walaupun apa saja andaian, penganut syiah kekal menggunakan al-Quran sedia ada dan tiada cadangan untuk mengubah apa-apa kandungan dalam kitab al-Quran. Cuma terdapat tafsiran berbeza akan sebahagian ayat seperti keharusan berMutaah (kahwin kontrak) dan sebagainya. 

Tuesday, September 30, 2014

Hubungan Keluarga Saidina Ali dan Bani Umaiyah

Imam Ali Zainal Abidin walaupun pernah beberapa lama bersama dengan Yazid selepas kesyahidan ayahnya Husain r.a. serta keluarganya di Karbala namun tidak ada satupun riwayat daripada beliau yang menyebutkan bahawa Yazid ada melakukan perkara-perkara buruk seperti minum arak, meninggalkan solat. Bahkan Imam Ali Zainal Abidin telah memberikan taat setia kepada Yazid sehingga enggan untuk turut sama dalam pemberontakan terhadap Yazid selepas itu. (Mawaqiful Mu'aradhah hal.383)

Antara sahabat agung yang pernah mengenali Yazid seperti Nu'man bin Basyir dan Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib r.a. Mereka berdua juga tidak pernah menyebut bahawa Yazid melakukan amalan-amalan maksiat tersebut sebagaimana yang disebarkan oleh orang-orang Syiah seperti Abu Mikhnaf (seorang periwayat Syiah).

Selain itu terdapat hubungan kekeluargaan dan perkahwinan diantara ahli keluarga Khalifah Ali dengan Bani Umaiyah. Senario ini dijadikan bukti oleh pihak ASWJ yang menunjukkan tiada permusuhan sebenarnya diantara kedua-dua keluarga ini seperti yang diwar-warkan. Antaranya ialah;

(1) Anak perempuan Sayidina Ali bernama Ramlah telah berkahwin dengan anak Marwan bin Al-Hakam yang bernama Muawiyah iaitu saudara kepada Amirul Mukminin Abdul Malik bin Marwan. (Ibn Hazm-Jamharatu Al Ansab, m.s. 80)

(2) Seorang lagi anak perempuan Sayidina Ali berkahwin dengan Amirul Mukminin Abdul Malik iaitu khalifah yang keempat daripada kerajaan Bani Umaiyah. (Al Bidayah Wa An Nihayah, jilid 9 m.s. 69)

(3) Terdapat seorang lagi anak perempuan Sayidina Ali iaitu Khadijah berkahwin dengan anak gabenor 'Amir bin Kuraiz dari Bani Umaiyah bernama Abdul Rahman. (Jamharatu An Ansab, m.s. 68). 'Amir bin Kuraiz adalah gabenor bagi pihak Muawiyah di Basrah dan dalam peperangan Jamal dia berada di pihak lawan Sayidina Ali.

Selain itu, ramai juga cucu Sayidina Hasan yang telah berkahwin dengan pemimpin-pemimpin kerajaan Bani Umaiyah. Bahkan sejarah telah mencatatkan seramai 6 orang daripada cucu beliau telah berkahwin dengan pemimpin dan keluarga Bani Umaiyah iaitu:-

1.     Nafisah bt Zaid bin Hasan berkahwin dengan Amirul Mukminin Al Walid bin Abdul Malik bin Marwan.

2.     Zainab bt Hasan Al Mutsanna bin Hasan bin Ali juga telah berkahwin dengan Khalifah Al Walid bin Abdul Malik. Zainab ini adalah di antara orang yang turut serta di dalam rombongan Sayyidina Husain ke Kufah dan dia adalah salah seorang yang menyaksikan peristiwa pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala dengan mata kepalanya sendiri.

3.    Ummu Qasim bt Hasan Al Mutsanna bin Hasan bin Ali berkahwin dengan cucu Sayidina Uthman iaitu Marwan bin Aban. Ummu Qasim ini selepas kematian suaminya Marwan berkahwin pula dengan Ali Zainal Abidin bin Al Husain.

4.     Cucu perempuan Sayidina Hasan yang keempat telah berkahwin dengan anak kepada Marwan bin Al-Hakam iaitu Muawiyah.

5.     Cucu Sayidina Hasan yang kelima bernama Hammaadah bt Hasan Al Mutsanna berkahwin dengan anak saudara Amirul Mukminin Marwan bin Al Hakam iaitu, Ismail bin Abdul Malik.

6.     Cucu Sayidina Hasan yang keenam bernama Khadijah bt Husain bin Hasan bin Ali juga pernah berkahwin dengan Ismail bin Abdul Malik yang dinyatakan diatas. Beliau berkahwin sebelum sepupunya Hammaadah.

Perlu diingat bahawa semua mereka yang tersebut telah meninggalkan zuriat.

Manakala dari kalangan anak cucu Sayidina Husain pula, ramai yang telah menjalinkan perkahwinan dengan individu-individu dari keluarga Bani Umaiyah, antaranya ialah:-

(1) Anak perempuan Sayyidina Husain yang terkenal bernama Sakinah. Selepas beberapa lama terbunuh suaminya Mus'ab bin Zubair, beliau telah berkahwin dengan cucu Amirul Mukminin Marwan iaitu Al Asbagh bin Abdul Aziz bin Marwan. Asbagh ini adalah saudara kepada Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz sedangkan isteri Asbagh yang kedua ialah anak kepada Amirul Mukminin Yazid iaitu Ummu Yazid. (Jamharatu Al -Ansab)

(2) Sakinah anak Sayidina Husain yang tersebut tadi pernah juga berkahwin dengan cucu Sayidina Uthman yang bernama Zaid bin Amar bin Uthman.

Sementara anak cucu kepada saudara-saudara Sayidina Husain iaitu Abbas bin Ali dan lain-lain juga telah mengadakan perhubungan perkahwinan dengan keluarga Umaiyah. Di antaranya yang boleh disebutkan ialah:-

Cucu perempuan kepada saudara Sayidina Husain iaitu Abbas bin Ali bernama Nafisah bt Ubaidillah bin Abbas bin Ali berkahwin dengan cucu Amirul Mukminin Yazid yang bernama Abdullah bin Khalid bin Yazid bin Muawiyah. Datuk kepada Nafisah ini iaitu Abbas bin Ali adalah di antara orang yang ikut serta dalam rombongan Sayidina Husain ke Kufah. Beliau terbunuh dalam pertempuran di medan Karbala .

Hubungan kekeluargaan di antara mereka sangat banyak terdapat di dalam kitab-kitab Ansab dan sejarah. Maklumat lebih lanjut boleh dirujuk dari kitab–kitab seperti Jamratu Al Ansab, Nasbu Quraisy, Al Bidayah Wa An Nihayah, Umdatu Al Thalib Fi Ansab Aal Abi Thalib dan lain–lain .

Untuk makluman pembaca: tajuk dan artikel ini saya ambil dari pelbagai sumber internet.


Wednesday, September 10, 2014

Penindasan Terhadap Bangsa Yazidi

Yazidi Menjadi Sebutan

Yazidi bukanlah salah satu mazhab Syiah, tetapi mereka dikatakan berpecah daripada kelompok Syiah. Sejak krisis pembantaian oleh militan ISIS atau ISIL (The Islamic State of Iraq and the Levant) menguasai bahagian utara Iraq, nama Yazidi tiba-tiba muncul di media antarabangsa. Mereka terpaksa melarikan diri dari kota Sinjar ke gunung Sinjar dan merata tempat. Kira-kira 130,000 penduduk Yazidi telah melarikan diri ke Dohuk, atau Irbil. Manakala seramai 40,000 penduduk Yazidi terutamanya kanak-kanak dan wanita terperangkap di 9 lokasi di sekitar gunung Sinjar yang merupakan kawasan gersang. 

Pelarian Yazidi
Menurut lagenda tempatan, gunung Sinjar merupakan lokasi hentian terakhir bahtera Nabi Nuh. Mereka umpama menunggu saat ajal mereka sama ada dibunuh atau mati kebuluran.

Gunung Sinjar

Hingga artikel ini ditulis, proses mengeluarkan pelarian dari gunung tersebut serta bantuan makanan dan minuman sedang giat dilakukan oleh kerajaan Iraq, Turki, US dan tentera Kurdis. Berita kematian dan pembunuhan dikalangan mereka menyebabkan dunia mula celik akan kewujudan komuniti minoriti yang ditindas sejak zaman-berzaman.

Kanak-kanak Yazidi mati kebuluran


Siapakah Yazidi?

Penganut Yazidi atau Yezidi juga dikenali sebagai Yazdani, Ayziyan (bahasa Arab), Ezdiner (bahasa Armenia) dan Ezidy (bahasa Rusia) adalah merujuk kepada kelompok yang sama. Terdapat sangkaan salah dimana kononya istilah “Yazidi” berasal dari nama Yazid bin Muawiyah, Sebenarnya menurut para cendikiawan sejarah, istilah Yazidi berasal dari kosakata Iran tua, iaitu “yazata” (yang ilahi). Manakala masyarakat Yazidi sendiri percaya bahawa nama mereka berasal dari kata Yezdan atau Êzid iaitu "Tuhan".

Kewujudan komuniti Yazidi telah melalui dua fasa. fasa pertama dikenali sebagai; "Sun Worshippers" iaitu zaman empayar kuno Assyria dan Babylon. 1000  tahun kemudian, barulah seorang tokoh Shaykh Adi ibn Musafir al-Umawi  muncul (yang akan diterangkan kemudian). Kemudian dalam fasa kedua, istilah Yazidi mula diperkenalkan oleh Sheikh Gudeydi. Bagaimanapun, tiada maklumat jelas berkenaan latar belakang Sheikh Gudeydi. Pengikut-pengikut Yazidi adalah terdiri daripada kelompok syiah pada asalnya menggunakan beberapa simbol-simbol kuno dan kemudiannya menjadi satu agama. Mereka bolehlah dikatakan mempunyai perkaitan dengan kelompok Syiah lain seperti Druze dan Alawi.  Cuma perbezaannya Yazidi mempunyai perkaitan yang kuat dengan bangsa Babylon dan Arab. Yazidi juga menyakini mereka berasal daripada bangsa Quraisy Arab. 

PBB telah mengiktiraf Yazidi sebagai sebuah etnik walaupun pernah dikaitkan dengan hubungan pertalian darah dengan bangsa Kurdis. Malah mereka juga cenderung untuk menganggap diri mereka berbeza berbanding dengan orang-orang Kurdis. Namun kebanyakan mereka berkomunikasi dengan bahasa Kurdis (Kurmanji) disamping berbahasa Arab sebagai bahasa ibunda.

Mengapa mereka berkomunikasi dengan bahasa Kurdis? Pada tahun 1990an, wilayah  mereka dikuasai oleh puak Kurdis iaitu Kurdistan Democratic Party (KDP). Kumpulan Kurdis telah mencuba mengubah pemikiran orang-orang Yazidi. Mereka telah menganggap agama Yazidi berasal dari agama kuno orang-orang Aryan dan Iran. Yazidi juga dianggap termasuk dalam bangsa Kurdis. Anak-anak Yazidi diwajibkan mengikuti bahasa kurdis di sekolah-sekolah. Ringkasnya, mereka terpaksa berkomunikasi dalam bahasa Kurdis. Akibat kerosakan budaya yang dialami oleh masyarakat Yazidi menjadikan mereka berpecah kepada tiga kelompok. Kelompok pertama ialah mereka menganggap sebahagian daripada bangsa Kurdis. Kelompok kedua yang menganggap Yazidi sepatutnya sebuah negara atau wilayah. Manakala kelompok ketiga ialah kelompok tradisi yang yakin mereka adalah sebahagian daripada orang Arab dan Yazidi adalah agama mereka.

Populasi Yazidi

Sekarang terdapat kira-kira 700, 000-800, 000 orang dari komuniti Yazidi tinggal di Iraq. Mereka biasanya hidup sebagai petani atau penternak. Kebanyakan mereka tinggal di Lalish, Ain Sifni (Shekhan), Mosul dan Sinjar iaitu di utara Iraq. Mereka menghuni disitu sejak beratusan tahun. Oleh itu terdapat banyak terdapat tempat-tempat suci dan perkampungan asal mereka disitu. Makam perkuburan lama merupakan destinasi ibadah yang utama mereka lawati. Bagaimanapun kawasan tersebut yang juga dikenali kawasan segitiga sempadan Turki-Iraq-Syria merupakan wilayah yang dalam pertikaian dan banyak dikuasai oleh militan kurdis berbanding penguasaan pemerintah negara (Iraq).
Kuil Yazidi di lalish
Mereka juga terdapat bertebaran di Turki dan Syria. Semenjak tahun 1990an ramai juga yang berhijrah ke eropah terutamanya ke Jerman, Armenia dan Russia. Jerman menjadi tempat tumpuan warga Yazidi yang teramai di luar negeri dengan jumlah sekitar 40.000 orang. Kini dikatakan populasi mereka sudah mencecah 2 - 2.5 juta orang di seluruh dunia. Jumlah mereka tidak ramai mungkin disebabkan kematian berpunca keganasan etnik dan larangan pernikahan dengan bangsa lain yang merencat perkembangan populasi mereka.

Salah satu sebab kenapa berlakunya penghijrahan adalah berpunca daripada tekanan politik dan agama. Menurut Mathew Barber, ahli sejarah Yazidi dari Universiti Chicago, masyarakat Yazidi sudah 72 kali menjadi sasaran keganasan dan penghapusan etnik. (Pembantaian ISIS merupakan keganasan kali ke 73 yang mereka hadapi). Ini adalah kerana mereka disalah erti dengan tuduhan menyembah syaitan. Mereka dituduh penyembah syaitan sejak abad ke-16 dan 17 lagi.

Kepercayaan Yazidi

Mereka mengamalkan kepercayaan kuno yang lahir di Mesopotamia sekitar 4.000 tahun lalu iaitu berasaskan agama Zoroaster (Majusi). 

Lambang Zoroaster
Mereka percaya kepada tuhan sebagai pencipta alam namun mereka menyembah api sebagai manifestasi dari tuhan dan berdoa (kepada tuhan) dengan menghadap ke arah matahari. Simbol kepercayaan (tuhan) mereka juga berbentuk matahari.
Simbol Ketuhanan Yazidi
Kitab suci mereka adalah dalam bahasa Aramaik yang ditulis dalam bahasa Arab. Kitab suci mereka ialah Cilwe Kiteba (Kitab Wahyu) dan Res Mishefa (Buku Hitam). Bagaimanapun pemimpin-pemimpin rohani mereka menyakini kedua-dua kitab tersebut yang diterbitkan pada tahun 1911 dan 1913 telah ditulis oleh golongan bukan Yazidi. Walaupun teks yang terkandung adalah bersesuaian dengan tradisi budaya mereka tetapi masih belum sempurna. Teks yang sebenar dikenali sebagai qawls. Teks berkenaan banyak maksud tersirat dan proses pengumpulan teks-teks tesebut sedang giat dijalankan.

Kepercayaan mereka juga bercampur campur dengan ajaran kristian, syiah dan doktrin ajaran-ajaran sufi yang dikatakan didokongi oleh Shaykh Adi ibn Musafir al-Umawi. Mereka mengamalkan unsur-unsur pembaptisan (Kristian) dan berkhatan (Islam). Seperti penganut Syiah, Yazidi mempercayai Taqiyah, iaitu kepura-puraan ketika menghadapi penganiayaan demi kelangsungan hidup mereka.

Dua ciri utama pegangan Yazidi ialah keindahan beragama dan mempercayai penjelmaan semula. Keindahan beragama merujuk kepada sistem kasta, hukum-hakam, pantang larang dan budaya dalam kehidupan. Penyucian rohani jiwa boleh dicapai melalui penjelmaan semula yang berterusan.

Terdapat tiga kasta Yazidi, iaitu kasta murid, sheikh dan Pirs. Mereka hendaklah berkahwin hanya di dalam kumpulan kasta mereka sahaja. Mereka juga dilarang berkahwin dengan bukan Yazidi demi menjaga keturunan. Mereka mendakwa berasal dari Adam tanpa benih Hawa, tidak seperti manusia lain yang berasal dari Adam dan Hawa. Adam dikatakan menyimpan benih dalam satu bekas dimana lahirlah seorang bayi lelaki yang dinamakan Shehid bin Jer, “Son of Jar,” yang menurutnya asal usul keturunan bangsa Yazidi. Perkahwinan di luar kasta  mahupun bangsa lain dianggap berdosa dan hukuman mati untuk mengembalikan maruah yang hilang.

Mereka bersembahyang 5 waktu sehari (subuh, pagi, tengahari, petang dan malam) namun kebanyakan mereka hanya menunaikan pada matahari terbit (pagi) dan matahari terbenam (malam) sahaja. Mereka bersembahyang sambil menghadap matahari.  Bagaimanapun pada waktu tengahari, mereka berkiblatkan ke arah Lalish. Sembahyang hendaklah disertakan dengan gerakan isyarat tertentu seperti mencium kolar baju (kiras). Mereka menunaikan sembahyang tidak dibenarkan dihadapan orang luar.




Melek Tausi (Tawuse Melek)

Melek Tausi
Masyarakat Yazidi percaya (beriman) kepada tujuh makhluk suci atau malaikat yang diketuai oleh Melek Tausi atau Malaikat Merak (Peacock Angel). Burung merak dijadikan sebagai lambang kepada Melek Tausi. Yazidi menyakini Melek Tausi adalah makhluk pertama yang dicipta tuhan dan diikuti dengan 6 penghulu malaikat yang lain.

Dalam ciptaan manusia, tuhan mengarahkan beberapa malaikat mengambil debu tanah dari bumi dan membina tubuh badan Adam. Kemudian tuhan menghidupkan (memberi nyawa) Adam dengan pernafasannya. Semua penghulu-penghulu malaikat dikehendaki tunduk kepada Adam.  Namun, Melek Tausi yang merupakan ketua malaikat telah engkar arahan tuhan. Beliau menegaskan;

"Bagaimana saya boleh tunduk kepada makhluk lain! Saya dari cahaya sedangkan Adam dibuat dari debu tanah."

(Bagi kepercayaan orang Islam, makhluk yang engkar arahan Allah adalah Azazil yang kemudiannya diusir dari syurga turun ke bumi menjadi ketua iblis/syaitan. Iblis ini berjanji di depan Allah akan menyesatkan manusia serta keturunannya. Itulah mengapa penganut agama lain menganggap masyarakat Yazidi adalah penyembah syaitan).

Bagaimanapun kepercayaan Yazidi, Melek Tausi dianggap sudah diampunkan tuhan. Tuhan hanya sekadar mengujinya. Mereka percaya bahawa rasa memuja dan pujian mereka untuk Melek Tausi adalah satu cara untuk mengakui sifat megah dan mengagumkan sifat malaikat tersebut. Oleh itu Melek Tausi dibenarkan semula berada di syurga serta mengetuai malaikat dan berkhidmat sebagai perantara di antara tuhan dan manusia.

Hari Suci dan Perayaan

Yazidi percaya Melek Tausi adalah wakil tuhan di muka bumi dan turun ke bumi pada hari rabu pertama bulan April. Yazidi berkeyakinan bahawa tuhan mencipta Melek Tausi pada hari tersebut dan menyambutnya hari tersebut sebagai Hari Tahun Baru. Oleh itu hari rabu adalah hari kebesaran (suci), hari sabtu adalah hari rehat dan mereka juga berpuasa selama 3 hari pada bulan Disember.
Keraian Tahun Baru
Mereka menyambut tahun baru pada bulan April yang merupakan perayaan agama yang berakar umbi dari zaman Babylon dan Assyria. Mereka menyambut tahun baru selama 13 hari. Mereka juga masih menggunakan kalendar Babylon kuno. Menurut kalendar tersebut, tahun ini (2014) adalah tahun 6764 bagi mereka.

Tahun baru disambut dengan meriah dengan iringan pelbagai irama muzik tarian dan pelbagai juadah disediakan. Pada musim bunga diadakan majlis penghormatan kepada penaung kuil dengan aktiviti yang sama. Selain itu perayaan Tawusgeran (peredaran merak), dimana-mana Qewals (pemain alat muzik) dan pembesar-pembesar agama menziarahi perkampungan Yazidi. Mereka membawa imej suci burung merak yang dibuat dari tembaga sebagai melambangkan Melek Tausi. Mereka akan mengutip cukai, berkhutbah dan mengedar air suci.
Perayaan Perhimpunan Cejna Cemaiya

Perayaan terbesar tahunan dinamakan Cejna Cemaiya "Perayaan Perhimpunan" di Lalişh, satu perayaan ibadah haji (bagi Yazidi) mengambil masa tujuh hari, iaitu pada 23 Aylūl (September) hingga 1 Tashrīn (Oktober ). Antara ritual yang dilakukan ialah mandi sungai, meriahkan dengan lampu bercahaya dikawasan perkuburan Shaykh Adi dan korban lembu jantan di kuil. Korban lembu ini bermaksud untuk mengumumkan ketibaan musim luruh dan untuk meminta hujan semasa musim sejuk untuk membawa kembali kehidupan kepada bumi pada musim bunga akan datang. Selain itu, dalam astrologi, lembu adalah simbol Tashrīn.
Menziarahi makam Shyakh Adi
(Berdasarkan perkembangan pembantaian ISIS, menurut pemimpin rohani mereka Baba Sheikh, mereka telah membatalkan majlis keagamaan tahunan rasmi di kuil Lalish. Lalish dilaporkan telah bertukar menjadi tempat perlindungan bagi pelarian Yazidi.)


Shaykh Adi ibn Musafir al-Umawi

Kisah Shaykh Adi tidak diketahui dengan jelas sama ada beliau seorang pemimpin spritual semata-mata atau merupakan pengasas ajaran-ajaran Yazidi yang bercampur-campur dari pelbagai agama. Bagaimana terdapat pendapat yang mengatakan ajaran sufi yang diamalkan oleh Yazidi telah menyimpang dari ajaran sebenar Shaykh Adi setelah bebeberapa lama kematiannya.

Shaykh Adi dipercayai berasal dari keturunan Umayyah Khalifah Marwan ibn al-Hakam yang dilahirkan di Lembah Beqaa Lubnan pada tahun 1070an. Yazidi menganggap beliau seorang wali agung atau Avatar iaitu penjelmaan sang penyelamat. Beliau dilaporkan mengaku sebagai jelmaan Melek Tausi dan pernah berkata;

“Saya wujud apabila Adam tinggal di syurga, dan ketika Namrud melemparkan Ibraham dalam api. Saya juga bersaksi Tuhan berkata kepada saya, Kamu adalah pemerintah dan Tuhan di bumi. Tuhan yang berbelas kasihan memberikan saya tujuh petala bumi dan langit”.

Shaykh Adi pernah tinggal di Baghdad dan kemudiannya ke Kurdistan untuk mendalami kehidupan sufi dengan memencilkan diri (bertapa) untuk mendapatkan ketenangan kerohanian. Kurdistan merupakan kawasan yang masih ramai mengamalkan agama kuno Iran seperti Zoroaster (Majusi). Dengan budaya dan ritual yang diamalkan oleh penduduk disana membuatkan beliau tertarik untuk mendalaminya.
Kawasan  Makam Shaykh Adi di Lalish
Di kawasan Kurdistan, beliau tinggal di pergunungan Hakkari Kurd di utara wilayah Mosul dan meninggal dunia pada usia 90 (1162). Sesetengah pendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 1160 sewaktu dalam pertapaan. Beliau dimakamkan di Lalish Iraq yang merupakan salah satu tempat suci yang dilawati oleh penganut Yazidi.

Pemimpin Yazidi sekarang

Amir kepada komuniti Yazidi di Iraq ialah Anwar Muawiya İsmail. Namun beliau tidak tinggal di Iraq di atas sebab-sebab keselamatan. Manakala Amir Yazidi diseluruh dunia ialah Putera Tahseen Said. Pemimpin agama atau Baba Sheikh ialah Khurto Haji Ismail.
Anwar Muawiya Ismail

Putera Tahseen Said

Saturday, December 1, 2012

Siapakah Golongan ar-Rafidhah?


Abdullah bin Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali) berkata, “Aku telah bertanya kepada ayahku, siapa Rafidhah itu?”

Maka beliau (ayah Imam Hanbali) menjawab, “Mereka adalah orang-orang yang mencela Abu Bakar dan Umar ” (ash-Sharimul Maslul ‘Ala Syatimir Rasul hlm. 567, karya Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah)

Sebutan “Rafidhah” muncul berkait rapat dengan peristiwa Zaid bin Ali bin Husain bin Ali bin Abu Thalib berhadapan dengan para pengikutnya ketika memberontak kepada Khalifah Umayyah, Hisyam bin Abdul Malik bin Marwan di tahun 121 H. (Badzlul Majhud, 1/86)

Zaid mengiktiraf ketiga-tiga khalifah terdahulu (Abu Bakar, Umar dan Usman), tetapi beliau berpendapat Ali lebih afdhal. Beliau juga berpendapat "harus" melantik khalifah di kalangan mereka yang kurang afdhal. Dengan itu beliau tidak menafikan kekhalifahan Abu Bakar, Umar dan Usman. 

Dalam peristiwa itu, terdapat beberapa pengikutnya bertanyakan pendapatnya mengenai Abu Bakar dan Umar. Maka Zaid mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua. 

Terdapat pengikutnya marah dan tidak bersetuju dan lalu mereka memisahkan diri dari menjadi pengikut Zaid. Lalu Zaid memanggil mereka  “Rafadhtumuunii.” (Maqalatul Islamiyyin, 1/137). Yang bermaksud "Kalian tinggalkan aku?" Begitulah kisahnya bagaimana wujudnya istilah ar-rafidhah yang ditujukan kepada golongan yang memisahkan diri dari kumpulan Zaid..

Golongan memisah diri inilah yang menjadi pelopor kepada Mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah, iaitu yang dikenali mazhab Syiah yang terbesar, Imamiyah. Dari sinilah bermulanya sejarah kenapa pihak sunni menggelar Syiah Imamiyah dan seumpamanya sebagai puak ar-Rafidah.

Menurut Ibnu Taimiyyah dalam "Majmu' Fatawa" (13/36) menyatakan, ar-Rafidhah pastinya merupakan pengikut Syiah, sedangkan Syiah belum tentu tergolong dalam kumpulan ar-Rafidhah; kerana tidak semua Syiah menolak Abu Bakar dan Umar sebagaimana yang disokong oleh Syiah Zaidiyyah. Syiah Zaidiyah merupakan kelompok dari pengikut-pengikut Zaid.

Tuesday, November 27, 2012

Syiah sebagai Mazhab Islam, sekiranya...

Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) tidak menganggap semua syiah adalah terkeluar dari Islam. Kemunculan Syiah diawalnya tidak langsung membabitkan perbezaan akidah. Sesetengahnya pula hanya sekadar menyokong dan bersimpati ke atas syiah atau sekadar ikut-ikutan yang tidak mengubah akidah mereka.

Sebenarnya golongan Sunni menganggap Syiah adalah saudara Islam mereka sekiranya;
  1. Tidak mengkafir dan mencela sahabat-sahabat (seperti Abu Bakar, Umar dan Uthman) dan isteri (Aisyah) Rasulullah s.a.w.
  2. Tidak menganggap al-Quran sekarang ada kecacatan. Kerana kecacatan itu seolah-olah mukjizat bersifat lemah dari peliharaan Allah untuk panduan umat manusia.
  3. Tidak mewajibkan kalimah syahadah tambahan untuk mengistiharkan keislaman.
  4. Tidak melakukan bidaah yang menyesatkan sama ada dalam ibadah atau keraian. 
  5. Tidak menyekutukan Allah dengan menyamakan sifat lemah manusia.
  6. Menyakini Nabi Muhammad s.a.w merupakan insan terakhir mendapat wahyu dari Allah.
  7. Menyakini Nabi Muhammad s.a.w adalah insan terakhir yang maksum disisi Allah
Fahaman-fahaman kontra diatas sebenarnya dipelopori oleh Ibn Saba yang berlakon sebagai watak penyokong setia ahlul bait (syiah) sejak zaman Khalifah Uthman lagi.